NASIONALISME

MAKSUD NASIONALISME

Nasionalisme bermaksud perasaan cinta akan negara dan bangsa. Semangat ini merupakan gerakan untuk membebaskan tanah air daripada jajahan politik, ekonomi dan budaya asing. Semangat nasionalisme sering berlainan mengikut pada sejarah negara, tujuan, keturunan, bangsa serta agama.

PERKEMBANGAN NASIONALISME DI BARAT

Nasionalisme di Barat berkembang hasil penentangan terhadap pemerintahan beraja yang menggugat hak dan kebebasan rakyat. Di barat, terdapat 3 revolusi yang menunjukkan nasionalisme di negara masing-masing iaitu Revolusi England, Revolusi Amerika dan Revolusi Perancis. Revolusi England yang dikenali sebagai Revolusi Keagungan disebabkan oleh keinginan menegakkan parlimen dan hak asasi rakyat. Ketika itu, ahli parlimen menentang raja mutlak dan disokong oleh Mari II dan suami Raja William Of Orange dari Belanda. Kemudian, Revolusi Amerika pula tercetus apabila British tidak melindungi hak penduduk Amerika. Rakyat Amerika menentang akta memungut cukai di jajahan. George Washington mengetuai kongres dan mengisytiharkan perang terhadap British untuk memperjuangkan kemerdekaan Amerika. Akhirnya, British mengakui kemerdekaan mereka pada 1783. Akhir sekali, Revolusi Perancis yang memperjuangkan kebebasan, persamaan dan persaudaraan. Revolusi ini menamatkan sistem beraja di Perancis yang membebankan rakyat dengan cukai

PERKEMBANGAN NASIONALISME DI ASIA

Nasionalisme di Asia melibatkan Empayar Uthmaniyyah dan Mesir dan Jepun. Nasionalisme di Empayar Uthmaniyyah dan Mesir wujud untuk mempertahankan sistem pemerintahan Islam dan Agama Islam. Mereka mewujudkan gerakan Pan-Islamisme dan Gerakan Islah sebagai gerakan pemulihan Islam. Gerakan Islah ditubuhkan kerana pertembungan budaya Eropah - Amerika dengan budaya tempatan. Maka dengan wujudnya gerakan tersebut dapat menyeru umat Islam berpegang pada ajaran Islam sebenar yang berpandukan Al-Quran dan Hadis. Kemudian, Gerakan Pan-Islamisme pula ditubuhkan untuk menentang perluasan kuasa Barat. Nasionalisme di Jepun pula terbentuk untuk mencapai kemajuan. Mereka ingin mengelakkan ancaman imperialisme Barat. Nasionalisme yang dikenali sebagai Pemulihan Meiji ini menerapkan semangat Bushido iaitu sikap sanggup menanggung risiko, bersungguh-sungguh mencapai cita-cita serta sedia berkorban demi melaksanakan tanggungjawab terhadap ketua dan negara.

PERKEMBANGAN NASIONALISME DI ASIA TENGGARA

Nasionalisme di Asia Tenggara berpunca daripada jajahan Barat. Negara-negara Asia Tenggara ingin membebaskan diri daripada jajahan tersebut. Di Filipina, nasionalisme berkembang untuk menghapuskan jajahan asing. Jose Rizal menubuhkan Gerakan Propaganda kerana Filipina dijadikan sebahagian wilayah Sepanyol. Gerakan ini mendesak Sepanyol melakukan perubahan politik,ekonomi dan sosial dengan menubuhkan Liga Filipina 1892. Nasionalisme di Thailand pula berbeza dengan negara lain yang bersifat antipenjajah dan kemerdekaan. Nasionalisme mereka bertujuan untuk mempertahankan kedaulatan negara serta tuntut penglibatan rakyat dalam pemerintahan. Faktor nasionalisme di Thailand ialah kerana Raja Vajiravudh menimbulkan kegelisahan rakyat terhadap  penguasaan politik oleh kerabat diraja. Beliau juga menamatkan pemerintahan raja berkuasa mutlak serta meletakkan raja kedudukan tertinggi dan tidak mencampuri urusan pentadbiran kerajaan yang dijalankan oleh Perdana Menteri.

PERANG DUNIA PERTAMA DAN KEDUA

Perang Dunia Pertama berlangsung antara tahun 1914-1918 dan hanya berlaku dalam kalangan negara-negara Eropah sahaja. Negara-negara Eropah yang terlibat dalam peperangan ini ialah Jerman, Britain, Rusia, Perancis, Austria-Hungary, Serbia, Itali, Belgium dan Turki. Negara-negara di Asia dan Afrika turut dilibatkan apabila wilayah di kedua-dua benua tersebut menjadi rebutan negara-negara Eropah untuk dijadikan tanah jajahan. Perang Dunia Pertama melibat dua pihak iaitu Triple Alliance atau Perikatan Tiga Kuasa dan Triple Entente atau Pakatan Tiga Kuasa. Akhirnya, Triple Entente yang dipimpin oleh Rusia berjaya menewaskan Triple Alliance yang diketuai oleh Jerman.

Perang Dunia Kedua ialah perang dunia yang telah berlangsung dari tahun 1939 hingga 1945. Konflik antarabangsa ini melibatkan sebahagian besar negara-negara dunia termasuklah semua kuasa besar yang membentuk dua pakatan tentera yang utama iaitu Kuasa Bersekutu dan Kuasa Paksi. Dalam keadaan perang menyeluruh, ia membabitkan lebih daripada 100 juta orang anggota tentera dari lebih 30 buah negara, dengan negara-negara utama yang terlibat dalam perang ini menggunakan seluruh kemampuan ekonomi, industri dan ilmiah mereka di sebalik usaha perang, yang mengaburkan perbezaan antara sumber awam dan ketenteraan. Peperangan ini juga memperlihatkan Amerika Syarikat keluar daripada dasar mengasingkan diri, kemusnahan dan kebangkitan semula Jerman, Jepun sebagai kuasa industri utama, dan kemunculan Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet sebagai kuasa besar dunia yang membawa kepada Perang Dingin. Peperangan ini juga secara langsung membawa kepada penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Oktober 1945 selepas tamatnya perang tersebut, yang ditubuhkan oleh Kuasa Bersekutu yang menang agar pertelingkahan yang berskala besar dan membinasakan tidak akan berlaku lagi buat selama-lamanya.


Comments